Home About Us Tanggungjawab Kualiti Halal

Tanggungjawab Kualiti Halal

Tanggungjawab Kualiti Halal

Ketelusan kebolehkesanan dan Proses Dokumentasi

Secara umumnya, status halal dikaitkan dengan produk-produk yang tidak mengandungi sebarang elemen khinzir atau alkohol. Sebenarnya, pensijilan halal tidak terhad kepada kedua-dua elemen tersebut.

Bahan-bahan yang digunakan mestilah tulen dan suci, tidak mengandungi sebarang elemen haiwan yang tidak halal atau tidak disembelih mengikut hukum Syarak. Ia tidak boleh mengandungi najis, atau bahan kotoran yang ditafsirkan di dalam undang-undang Syariah.

Setiap bahan yang digunakan dalam pembuatan produk farmaseutikal halal perlu diberi perhatian teliti dengan sokongan dokumen yang sah. Kebolehkesanan merupakan keperluan penting dalam proses pensijilan halal.

Sebagai contoh, dalam pembuatan kapsul, bahan utamanya adalah gelatin yang diekstrak daripada tulang haiwan. Dalam proses pembuatan farmaseutikal halal, pembekal gelatin perlu memastikan bahan mentah gelatin adalah daripada sumber yang dibenarkan dan setiap langkah disahkan mematuhi halal dengan sokongan dokumen daripada pihak yang diiktiraf – ini bermakna tiada bahan yang tidak diisytihar seperti bahan sampingan daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut garis panduan Syariah.

Halal bukan hanya mengenai saringan bahan-bahan mentah yang terkandung di dalam produk, malahan cara pembuatannya turut diambilkira. Produk-produk farmaseutikal yang disahkan halal tidak boleh disediakan, diproses atau dibuat menggunakan peralatan yang tercemar dengan najis.

Pengeluar perlu memastikan bahawa premis dan kemudahan yang disediakan mematuhi garis panduan Syariah. Produk-produk yang dihasilkan tidak boleh dicemari dengan produk-produk tidak halal; termasuk waktu penyediaan, pemprosesan, pengendalian, pembungkusan, penyimpanan dan pengagihan.

Komitmen tidak berbelah bahagi dalam menghasilkan produk farmaseutikal bermutu tinggi membolehkan Duopharma Biotech merangkul Anugerah Syarikat Farmaseutikal Halal Terbaik di Majlis Anugerah Kecemerlangan Frost & Sullivan Malaysia.

Semua produk farmaseutikal keluaran kilang-kilang farmaseutikal Duopharma Biotech mematuhi kriteria halal sejak tahun 1998.