Coretan Halal Farmaseutikal

CCM Duopharma Biotech Berhad (CCM Duopharma) Peneraju Farmaseutikal Halal

CCM Duopharma Biotech Berhad menyahut aspirasi negara dalam menerajui agenda pembangunan Halal sebagai syarikat farmaseutikal pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan Pensijilan Halal Malaysia pada tahun 1999 bagi produk-produk keluarannya iaitu CHAMPS, Flavettes, Proviton dan Naturalle. Pencapaian ini telah membuktikan bahawa CCM Duopharma, di samping mengeluarkan produk farmaseutikal yang berkualiti tinggi dan memenuhi keperluan undang-undang Kementerian Kesihatan Malaysia dari segi keselamatan, keberkesanan, dan kebersihan, juga mampu memastikan produk keluarannya memenuhi keperluan garispanduan Halal tanpa pertambahan kos.

CCM Duopharma berpegang kepada visi untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di Malaysia. Pegangan ini selari dengan komitmen fardhu kifayah yang diamalkan oleh Syarikat dengan memastikan produk-produk farmaseutikal keluarannya menjaga kepentingan kewajipan umat Islam untuk memilih yang halal.

Dalam tahun 2013, CCM Duopharma telah melakar satu lagi sejarah apabila menjadi pengilang pertama yang menerima pengiktirafan Pensijilan Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berdasarkan Malaysia Standard MS 2424:2012, Garis panduan Farmaseutikal Halal sekaligus tersenarai di dalam The Malaysia Book of Records. MS 2424 adalah standard terulung dunia terbitan Jabatan Standard Malaysia yang dibangunkan oleh pakar-pakar daripada kerajaan, penguatkuasa, akademik, industri dan pengguna. Standard tersebut memberi panduan serta keperluan teknikal dan Syariah bagi pengurusan pengeluaran produk farmaseutikal halal.

Lebih daripada 200 produk farmaseutikal CCM Duopharma telah berjaya memperoleh Pensijilan Halal Malaysia berdasarkan standard ini. Inisiatif ini mewujudkan satu era baru dalam pengeluaran produk farmaseutikal di pasaran di mana elemen Halal untuk produk farmaseutikal dapat dikenalpasti dan disahkan melalui logo “Halal Malaysia” yang dipamerkan pada barangan Over-the-Counter (OTC) seperti supplemen kesihatan dan ubat-ubatan/produk terapeutik yang tidak memerlukan sebarang preskripsi daripada doktor atau ahli farmasi. Pengguna sekarang mempunyai lebih kuasa untuk membuat pilihan bijak dengan adanya alternatif Halal di pasaran.

Pada awal tahun 2017, CCM Duopharma sekali lagi telah melakar sejarah apabila menjadi syarikat farmaseutikal pertama menerima Pensijilan Halal Malaysia untuk produk farmaseutikal berdaftar kategori ubat-ubatan terkawal daripada JAKIM. Pencapaian yang diraih oleh CCM Duopharma diiktiraf oleh Frost & Sullivan dengan penganugerahan ’Halal Pharmaceuticals Company of the Year Prescription Pharmaceuticals’ dua tahun berturut-turut bagi 2017 dan 2018.

Dalam agama Islam, Halal adalah diwajibkan tetapi dalam konteks perubatan, farmaseutikal atau ubat-ubatan yang mengandungi unsur tidak Halal adalah diharuskan penggunaannya atau dimakan sekiranya tidak terdapat sebarang alternatif. Ini berdasarkan salah satu cabang elemen Maqasid Syariah yang dititikberatkan, iaitu pemeliharaan nyawa dan kehidupan. Walau bagaimanapun, dengan peningkatan populasi umat Islam di serata dunia yang kini lebih berinformatif dan bijak dalam membuat pilihan, pastinya permintaan dan tuntutan untuk dibekalkan dengan produk farmaseutikal yang disahkan Halal akan meningkat.

Sebagai syarikat tempatan, CCM Duopharma turut memainkan peranan yang penting dalam inisiatif pembangunan industri farmaseutikal Halal melalui kerjasama erat dengan pihak berkepentingan seperti JAKIM, Halal Industry Development Corporation (HDC), Jabatan Standards Malaysia, Bahagian Farmasi Markas Angkatan Tentera Malaysia dan Koperasi Farmasis Muslim Selangor Berhad. Secara menyeluruh, matlamat farmaseutikal halal adalah untuk mewujudkan komuniti ummah sihat yang menjadi pemangkin kecemerlangan dalam ekonomi dan kehidupan.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *