In The Press December, 2016

CCM Terajui Produk Halal Farmaseutikal

Publication : utusan.com.my
Date : Thu, 22nd Dec 2016

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) terus menerajui pemba­ngunan produk farmaseutikal halal dunia dengan menekankan segala aspek bahan asas hinggalah pengilangan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, CCM berada pada landasan betul dalam menyasarkan saiz perniagaan kepada RM4.5 bi­lion pada tahun 2022.

“Saiz perniagaan sekarang berada pada RM330 juta dan nilai itu masih jauh untuk dicapai namun ia bukanlah mustahil apabila CCM akan terus memacu perkembangan dua digit setiap tahun.

“Pasaran seperti negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Jepun dan Korea Selatan mempunyai minat kepada produk halal. Ini membolehkan ia dikembangkan ke pelbagai negara pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi CCM, Datuk Normala Abdul Samad.

Sehingga kini, CCM mempunyai 200 produk farmaseutikal yang mendapat pensijilan halal dan mematuhi standard halal farmaseutikal MS2424 yang dikeluarkan oleh Standard Malaysia.

Leonard berkata, Malaysia mempunyai pelbagai badan yang membantu untuk mengekalkan standard halal terbaik di dunia apatah lagi ia dijalankan oleh badan bebas iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, banyak negara Islam lain tidak mempunyai stan­dard seperti ini dan langkah tersebut dipandang baik oleh negara lain dalam memastikan mereka mempunyai produk yang boleh digunakan untuk semua.

Tambahnya, banyak cabaran yang dihadapi bagi mereka yang ingin menjalankan standard ini sama seperti yang dilalui CCM dahulu, namun ia merupakan satu usaha yang berguna untuk jangka masa panjang.

“Halal bukan sahaja untuk orang Islam malah bagi sesiapa sahaja, misalnya standard MS2424 sama seperti standard Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), cuma menekankan beberapa aspek tambahan,” jelasnya.

Related Posts