Coretan Halal Farmaseutikal

Farmaseutikal Halal Keperihatinan yang Dizahirkan

Persoalan mengenai halal dan haram mula diambil perhatian termasuk bagi masyarakat bukan Islam. Pada dasarnya konsep halal membawa maksud bersih, suci, baik, dan berkualiti. Justeru, Islam menggariskan kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan berasaskan 5 perkara utama yang terkandung dalam Maqasid Syariah iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Kesemua aspek tersebut adalah berpandukan garis panduan dan peraturan yang telah dijelas di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Isu halal dan haram amat berkait rapat dengan keraguan tentang status halal terutamanya produk yang mengandungi ramuan daripada sumber haiwan. Pengguna Islam kini semakin cakna dengan pelbagai produk yang mungkin dicampur dengan unsur haram atau diragui di sisi Islam. (sumber: Analisis Keprihatinan Pengguna Muslim Terhadap Isu Halal-Haram Produk Melalui Pembentukan Indeks, UKM)

Pada November 2009, makmal Pusat Pengajian Sains Farmaseutikal Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalankan beberapa siri uji kaji ke atas 100 jenis produk kesihatan. Kajian mendapati bahawa 30% daripada produk yang diuji termasuk di dalam kategori tidak halal kerana kandungan bahan gelatin dihasilkan daripada haiwan yang haram dimakan iaitu babi. (sumber: Jurnal tentang perlunya campur tangan perundangan di dalam Industri Farmaseutikal Halal)

Logo halal telah memberikan keyakinan kepada pengguna. Bagaimanapun mereka perlu bijak agar tidak terpengaruh dengan logo halal palsu yang telah menjadi tular. Pengguna sebaliknya perlu mendapatkan kepastian dengan melakukan rujukan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Doktor, jururawat dan ahli farmasi turut menggalas tanggungjawab dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada para pengguna terutama berkaitan status dan bahan asas ubat-ubatan di pasaran. Hal ini kerana seseorang pesakit mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat tentang ubat yang diterima termasuk status halal produk berkenaan.

Susulan itu, Malaysia telah melancarkan Farmasi Komuniti Berteraskan Halal sempena Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS2017) dengan mengadaptasi konsep yang sama seperti di Australia. Kemudahan seperti akses ke laman sesawang Majlis Fatwa Kebangsaan serta aplikasi myJakim dan SmartHalal, juga telah memudahkan pengguna membuat semakan berkaitan status halal sesebuah produk.

Bagaimanapun, pengecualian diguna pakai apabila berlakunya keadaan darurat di mana tidak ada pilihan ubat berkesan untuk merawat sesuatu penyakit. Keadaan darurat atau terpaksa mengharuskan perkara-perkara yang ditegah. Pengambilan ubat daripada sumber haram bagaimanapun sekadar yang diperlukan sahaja. Hal ini demikian kerana pemeliharaan diri dan nyawa adalah diutamakan.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *