Coretan Halal Farmaseutikal

Farmaseutikal Halal: Soalan-soalan Lazim

1. Apakah maksud umum Halal bagi sesuatu produk?

  • Halal bagi sesuatu produk bermaksud produk tersebut tidak mengandungi atau tercemar secara zahir dengan bahan-bahan yang terlarang seperti berikut:
    • Haiwan yang tidak halal dan adalah haram mengikut Hukum Syarak seperti babi (porcine);
    • Haiwan yang halal tetapi tidak disembelih mengikut Hukum Syarak.
    • Kaedah penyediaan dan pemprosesan adalah dalam keadaan bersih serta menggunakan peralatan dan perkakasan yang bebas daripada pencemaran najs.

2. Apakah maksud Halal bagi produk farmaseutikal?

  • Halal bagi produk farmaseutikal bermaksud ianya mengandungi bahan-bahan yang dibenarkan di bawah Hukum Syarak iaitu:
    • tidak mengandungi bahan atau unsur daripada haiwan yang tidak halal dan haram menurut Hukum Syarak;
    • tidak mengandungi atau tercemar dengan najis menurut Hukum Syarak;
    • memenuhi peraturan dan keperluan yang telah ditetapkan oleh penguatkuasa dan perundangan pengeluaran produk farmaseutikal;
    • diproses, dibungkus, disimpan serta dihasilkan menggunakan peralatan yang bebas dari bahan atau unsur yang bertentangan dengan Hukum Syarak.
  • Bagi tujuan Pensijilan Halal Malaysia, definisi dan keperluan yang dijelaskan dalam Standard Malaysia MS 2424 akan digunapakai.

3. Apakah maksud produk bersijil halal?

  • Produk yang bersijil Halal atau memperolehi Pensijilan Halal Malaysia adalah produk yang telah mendapat pengesahan atau kelulusan daripada badan yang berwibawa iaitu Jabatan Kemajuan Agama Islam, Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN).

4. Kenapa pensijilan Halal itu penting?

  • Pensijilan Halal memberi jaminan bahawa produk tersebut memenuhi keperluan perundangan dan garis panduan Halal yang dibangunkan oleh badan yang diperakui dan berwibawa, Di Malaysia, syarikat yang memohon pensijilan Halal perlu merujuk kepada Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, Garis Panduan Sistem Jaminan Halal dan Standard Malaysia MS 2424:2012.

5. Bagaimanakah pengguna boleh mengenalpasti produk farmaseutikal telah memperolehi sijil Halal?

    • Produk farmaseutikal berdaftar kategori Produk Bukan Racun (Over-The-Counter, OTC) dibenarkan penggunaan logo halal pada label produk tersebut sekiranya memenuhi keperluan MS 2424 dan Pensijilan Halal Malaysia. Oleh yang demikian, pengguna boleh periksa label produk untuk logo Halal Malaysia yang sah daripada JAKIM. Ciri-ciri logo Halal Malaysia adalah seperti berikut:

*Sumber rujukan: http://www.myhealth.gov.my/pastikan-kesahihan-logo-halal/

  • Pensijilan Halal Malaysia bagi produk farmaseutikal berdaftar kategori Produk Racun Berjadual (Prescription Medicine) iaitu memerlukan preskripsi doktor telah mula awal 2017. Walau bagaimana pun, penggunaan logo halal pada label produk preskripsi tidak dibenarkan di bawah Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). (Rujuk jawapan soalan 8 untuk panduan mendapatkan pengesahan status halal sesuatu produk)

 

6. Adakah gelatin yang digunakan untuk kapsul produk farmaseutikal Halal?

  • Gelatin adalah bahan daripada tulang-tulang dan kulit-kulit haiwan, yang lazim digunakan dalam produk farmaseuktikal terutamanya untuk kapsul. Gelatin adalah halal sekiranya ianya daripada sumber yang halal dan diluluskan oleh JAKIM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

7. Adakah penggunaan alkohol dibenarkan dalam produk farmaseutikal halal?

  • Alkohol yang dihasilkan melalui proses sintesis kimia atau industri dibenarkan dalam penggunaan farmaseutikal halal. Tetapi alkohol yang dihasilkan melalui proses fermentasi seperti pembuatan wain tidak dibenarkan.

8. Bgaimanakah pengguna boleh membuat pengesahan status Halal sesuatu produk dan melaporkan sekiranya ianya mencurigakan?

  • Pengguna boleh menyemak status Halal sesuatu produk termasuk produk farmaseutikal dengan membuat carian di Portal Rasmi Halal Malaysia iaitu www.halal.gov.my atau Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM @HabHalalJakim, atau melalui app rasmi JAKIM iaitu SmartHalal dan MyJAKIM.
  • Pengguna juga boleh merujuk kepada syarikat pengeluar produk tersebut atau doktor, jururawat dan ahli farmasi.
  • Untuk maklumat tambahan, pengguna boleh merujuk kepada keputusan dan panduan yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia.
  • Sekiranya pengguna mendapati logo Halal pada pelabelan produk mencurigakan, laporan boleh dibuat dan diajukan terus kepada Bahagian Hab Halal JAKIM

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *