In The Press February, 2017

JAKIM Iktiraf CCM

Publication : hmetro.com.my
Date : Fri, 3rd Feb 2017

Kuala Lumpur: Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) menerima pengiktirafan persijilan halal pertama di dunia untuk ubat terkawal yang diberikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berdasarkan Piawaian Farmaseutikal Halal pertama di dunia, MS2424: 2012.

Pengerusi CCM, Datuk Normala Abdul Samad berkata, industri farmaseutikal halal adalah satu komponen penting dalam sektor kesihatan di Malaysia dan berpotensi tinggi dalam pasaran eksport dan domestik.

“Kejayaan ini perlu diraikan kerana ia menunjukkan pencapaian CCM sebagai pemangkin farmaseutikal halal di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa. Industri ini sudah diberi pengiktirafan oleh kerajaan sebagai industri strategik yang memerlukan lebih pendedahan.

“Kami berharap menerusi farmaseutikal halal, CCM dapat mewujudkan peluang dan pembabitan Bumiputera dalam ekosistem farmaseutikal ini yang mana permintaan semakin meningkat untuk produk yang mengandungi bahan halal,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Sijil berkenaan diserahkan kepada CCM oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu majlis di Putrajaya.

Pada majlis sama, satu lagi kejayaan besar dicapai JAKIM apabila menyampaikan surat pengiktirafan kepada sembilan organisasi dari empat negara iaitu Jepun, Kazakhstan, Maldives serta Sepanyol sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf JAKIM.

Dalam perkembangan sama, JAKIM menyarankan lebih banyak syarikat farmaseutikal tempatan dan antarabangsa mencontohi usaha yang dijalankan CCM.

Menurut Jamil Khir, Jaminan Pengurusan Halal yang jelas menunjukkan komitmen CCM dalam meneguhkan keyakinan bahawa produk mereka bukan sahaja halal, malah selamat digunakan, berkesan, berkualiti tinggi dan bersih.

Katanya, pensijilan halal kepada CCM adalah mercu tanda yang akan memberi impak besar dalam industri farmaseutikal halal dalam dan luar negara.

“Piawaian halal seharusnya menjadi teras dalam produk penjagaan kesihatan dan farmaseutikal. Dalam erti kata lain, perlu ada penyatuan syariah dan sains.

“Malaysia layak dan harus menjadi peneraju industri memandangkan kejayaan negara melaksanakan Piawaian Farmaseutikal Halal pertama di dunia.

“Semua pemegang sijil halal Malaysia perlu komited untuk memelihara piawaian halal pada setiap masa, bukan hanya untuk tujuan penilaian atau pembaharuan sijil. Walaupun Bahagian Hab Halal JAKIM menjalankan pemantauan dan audit pengawasan sepanjang tempoh sah sijil halal, namun jaminan harus datang daripada syarikat sendiri,” katanya.

Logo Halal Malaysia diterima dan diiktiraf di seluruh dunia kerana mematuhi piawaian serta integriti yang tinggi dalam menepati konsep Halalan Toyyiban.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *