Konvensyen Halal Farmaseutikal Kebangsaan 2019
Dalam usaha meningkatkan kefahaman dalam aspek halal dan haram bagi ubat-ubatan dan kosmetik, sebuah Konvensyen Halal Farmaseutikal Kebangsaan 2019 bakal diadakan dari 2 hingga 4 Julai ini di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.
Dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dengan kerjasama Persatuan Farmasi Malaysia Cawangan Kelantan, konvensyen ini akan menjelaskan asas-asas syariah dan sains dalam isu halal dan haram bagi ubat-ubatan dan kosmetik, serta konsep halalan toyyiban yang berlandaskan syarak, namun tetap mematuhi standard terbaik dunia.
Konvensyen tiga hari ini, dengan tema “Ke Arah Pematuhan Halal” atau “Towards Halal Compliance”, akan turut berusaha memupuk sikap dan nilai-nilai murni kepada peserta, seperti aspek kebersihan serta keselamatan dalam pengambilan ubat-ubatan dan seumpamanya.
Konvensyen yang bakal dihadiri beberapa tokoh penting dalam sektor perubatan dan farmasi negara ini akan dimulakan pada hari pertama dengan ucaptama konvensyen, yang akan disampaikan oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan. Beliau akan menyampaikan ucaptamanya yang bertajuk “Maqasid Syariah dalam Perubatan”.
Ini akan disusuli dengan upacara perasmian Konvensyen Halal Farmaseutikal Kebangsaan 2019 tepat jam 11 pagi, oleh YBhg Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sebanyak empat kertas kerja dijangka akan dibentangkan pada hari pertama, yang merangkumi aspek-aspek regulatori, standard halal, ekosistem halal serta hukum dan isu-isu perubatan semasa.
Hari kedua pada 3 Julai pula bakal menyaksikan pembentangan tujuh lagi kertas kerja, antaranya dalam aspek-aspek Sunnah dalam perawatan, farmasi halal, indeks ubat-ubatan halal, serta analisa pasaran farmaseutikal dan kosmeseutikal halal di Malaysia.
Manakala hari terakhir pula akan dipenuhi dengan hanya tiga pembentangan kertas kerja, dengan topik-topik menarik seperti keindahan pemakanan dan perubatan Islam, isu vaksin: antara fakta dan mitos, dan kertas kerja terakhir bertajuk “Halalkah Ubat Anda?”
Konvensyen kemudian akan ditutup sepenuhnya pada pukul 2 petang selepas nota penggulungan yang dijangka akan dapat mencapai suatu hala tuju yang jelas dalam pembangunan sektor farmaseutikal halal di negara ini.
Antara barisan pemikir dan inovator komuniti halal yang dijangka hadir untuk berkongsi ilmu serta pengalaman termasuk, En Fahmi Hassan, Ahli Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM; Dr Ramli Zainal, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM; Dr Kamilin Jamilin, Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis; dan Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Turut dijangka hadir termasuk Dr Suhazeli Abdullah, pakar perubatan keluarga; En Rahman Baco, Ahli Farmasi Komuniti dan Perintis, MDC Asia Link Berhad; En Muhammad Lukmani Ibrahim, Timbalan Pengarah NPRA; Prof Dr Zahri Ismail, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi, USM, dan En Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid, Ketua Pegawai Operasi, Duopharma Biotech Berhad.
Untuk maklumat lanjut dan untuk mendaftar, sila layari https://konvensyenhalal201.wixsite.com/khfk2019.
- Posted by halal4admin
- On April 22, 2021
- 0 Comment