Coretan Halal Farmaseutikal

Pengenalan Farmaseutikal Halal

Kesedaran mengenai pentingnya amalan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang, senaman dan pengambilan suplemen mendorong seseorang individu untuk mendapatkan produk kesihatan yang terbaik di pasaran. Bagi seseorang Muslim, suplemen yang diambil bukan sahaja berkhasiat, malah mesti memenuhi tuntutan halal.

Menurut Islam, halal meliputi segenap aspek kehidupan termasuk apa yang kita makan, pakai dan guna .Halal untuk aspek makanan bermaksud sumber yang diperoleh adalah halal (haiwan yang halal dimakan dan disembelih mengikut syariat Islam), proses pembuatan yang bersih dan bebas daripada pencemaran, cara penyimpanan serta agihan tidak bercampur dengan sumber-sumber yang diragui status halalnya. Halal dari aspek pakaian dan barangan pula bermaksud bahan-bahan yang digunakan semasa proses pembuatan adalah bebas daripada unsur haram atau diragui akan status kesuciannya.

Produk-produk yang disahkan halal amat penting bagi umat Islam memandangkan setiap Muslim wajib mencari yang halal. Bukan itu sahaja, produk halal turut memberi manfaat kepada golongan bukan Islam kerana halal adalah menyeluruh iaitu selamat, bersih, berkualiti dan menepati piawaian yang ditetapkan. Justeru, pengambilan produk berstatus halal membantu kehidupan seseorang menjadi lebih baik.

Industri farmaseutikal halal amat relevan kepada masyarakat Islam memandangkan suplemen dan ubat-ubatan yang dibeli atau didapati daripada hospital perlu diyakini statusnya. Permintaan terhadap produk farmaseutikal berstatus halal telah mendorong kerajaan membangunkan piawaian halal bagi industri farmaseutikal iaitu MS2424:2012 agar produk yang dihasilkan memenuhi tuntutan halal di samping dijadikan rujukan pihak berkuasa untuk membuat pengesahan status halal sesuatu produk.

Kerajaan turut mengambil langkah proaktif bertindak sebagai badan penguat kuasa, di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri di mana Akta perihal penggunaan status halal telah dibangunkan demi melindungi kepentingan pengguna. (Rujukan: Akta Perihal Dagangan 2011, Perihal Dagangan Order 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011).

Dari sudut ekonomi dan perindustrian, pasaran produk halal global dianggarkan USD2.3 trilion, tidak termasuk Perbankan Islam (Sumber: MIHAS 2018) di mana 26% daripada jumlah tersebut merangkumi farmaseutikal halal, makanan (61%), kosmetik (11%) dan lain-lain ( 2%).

Hal ini menunjukkan pasaran produk halal mampu berkembang atas beberapa faktor. Antara faktor tersebut termasuk peningkatan bilangan masyarakat Islam di seluruh dunia dan pertambahan pendapatan pengguna Islam yang secara tidak langsung mewujudkan kuasa pembeli yang lebih tinggi serta pilihan kepada pengguna.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *